Isnin, 26 November 2012


Kanak-Kanak & Permainan

Secara amnya permainan boleh didefinisikan sebagai apa-apa kegiatan yang memberikan kegembiraan dan kepuasan kepada kanak-kanak tanpa menimbangkan apakah hasil kegiatan itu. Bermain bukan satu kegiatan yangdipaksa tetapi perkembangan semulajadi kanak-kanak.
Fungsi permainan
i. Perkembangan kognitif
Permainan membolehkan kanak-kanak meneroka persekitaran, mempelajari perkara baru dan juga belajar dalam menyelesaikan masalah.
ii. Pertumbuhan dan perkembangan fizikal
Dengan bermain terutamanya dalam permainan aktif, kanak-kanak belajar mengawal pergerakan dan mengimbangi tubuh mereka serta melicinkan perjalanan sistem dalam tubuh seperti sistem pernafasan dan sistem saraf.
iii. Perkembangan komunikasi
Kanak-kanak dapat belajar cara berhubung dengan orang lain secara langsung dapat menanam sifat bertolak ansur.
iv. Mengawal perkembangan emosi
Dengan bermain kanak-kanak akan terhibur dan dapat mengurangkan ketegangan mental kerana semasa bermain kanak-kanak meluahkan perasaan kecewa atau marah.
Di samping itu bermain juga dapat memenuhi tujuan-tujuan tertentu seperti berikut;
i. Sumber pengetahuan
Banyak pengetahuan diperoleh oleh kanak-kanak semasa bermain. Belajar sambil bermain adalah amat berkesan dalam pembelajaran kanak-kanak kerana kanak-kanak tidak cepat merasa bosan.
ii. Cara mengembangkan daya kreativiti
Bermain boleh merangsang kanak-kanak untuk berfikir dan cuba menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Dengan cara ini kanak-kanak akan menjadi lebih kreatif.
iii. Perkembangan sosial
Semasa bermain dengan kanak-kanak lain, kanak-kanak akan cuba belajar dan mengekalkan hubungan yang sedia terjalin. Penyesuaian semasa bergaul adalah asas kepada proses sosialisasi kanak-kanak.
iv. Membentuk moral
Semasa bermain kanak-kanak belajar apa yang benar dan salah pada tanggapan rakan-rakan. Perkembangan moral terbentuk apabila mereka faham apa yang benar dan apa yang salah dalam tingkah laku mereka.
v. Perkembangan sahsiah
Melalui perhubungan dengan rakan sebaya, kanak-kanak akan belajar berdikari, bekerjasama, sifat jujur dan saling maaf memaafkan.
vi. Memahami peranan jantina
Kanak-kanak dapat membezakan jenis permainan yang sesuai untuk kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan.
Faktor-faktor yang mempengaruhi kanak-kanak bermain
Tidak semua kanak-kanak dapat bermain semua jenis permainan. Ini bergantung kepada
beberapa faktor;
  • Kesihatan
  • Perkembangan motor
  • Status sosioekonomi
  • Alat permainan
  • Jumlah masa lapang
  • Persekitaran
  • Jantina
Peringkat-peringkat permainan
Pada amnya, kategori bagi kanak-kanak bermain dibahagikan kepada tiga kategori;
  1. Bermain sendiri
Ketika ini kanak-kanak banyak menghabiskan masa sendirian. Mereka akan bermain apa sahaja benda yang boleh dicapainya. Cara mereka bermain adalah melalui sentuhan, bunyi, bau dan rasa. Mereka cubamenolak, menarik dan menghempas atau memukulnya. Mereka juga sengaja menjatuhkan alat permainan dan kemudian cuba mengambilnya dengan berbagai cara.
  1. Bermain selari
kanak-kanak mula bermain dekat dengan kanak-kanak lain. Walau bagaimanapun, mereka tidak bermain alat permainan yang sama. Mereka kelihatan lebih gembira bermain di sekeliling kanak-kanak lain.
  1. Bermain bersama
kanak-kanak mula mencari pasangan untuk bermain. Pada peringkat ini mereka mula mengalami proses sosialisasi iaitu dengan cara bermain bersama-sama rakan sebaya. Bermain bersama amat penting untuk membentuk peribadi dan tingkah laku kanak-kanak. Pada peringkat inilah mereka mula belajar bertolak ansur dan berinteraksi dengan orang lain.
Jenis-jenis permainan
1. Permainan aktif
Melibatkan aktiviti fizikal seperti berlari, melompat dan lain-lain.
2. Permainan pasif
Membaca, melihat komik, menonton tv, dan mendengar radio.
3. Permainan olok-olok
Permainan sosial yang paling popular di kalangan kanak-kanak. Permainan ini melibatkan aksi dan pertuturan menggunakan alat permainan yang sesuai seolah-olah mereka berada dalam kehidupan sebenar. Permainan ini dianggap sebagai pembentuk daya kreativiti kanak-kanak. Pada peringkat permulaan kanak-kanak bermain sendirian (solitary), kemudian mula bermain dengan kanak-kanak sebayanya. Perkembangan daripada solitary kepada peringkat sosial adalah satu cara baik untuk menguji perkembangan daya cipta kanak-kanak.
4. Permainan perkataan
Kebanyakan kanak-kanak yang berumur tiga tahun ke atas suka berbual dengan orang lain. Mereka gemar bertanya apa sahaja yang mereka minat.
Kesan sampingan permainan terhadap kanak-kanak
  • Masa bermain yang berlebihan
  • Ketidakseimbangan antara permainan aktif dan permainan pasif.
Sumber Rujukan : http://www.myrumah.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan